Apakah WhatsApp Proksi Dan Cara Menggunakannya
WhatsApp sebagai sebuah aplikasi komunikasi yang terpenting di dunia telah memperkenalkan satu (1) ciri yang baharu iaitu kebolehan menetapkan proksi. Ciri ini dilihat sangat penting dari sudut privasi dan keselamatan.
Kelebihan utama apabila menggunakan proksi ialah anda masih boleh mengakses WhatsApp walaupun sambungan disekat atau terganggu. Ini boleh berlaku secara tidak sengaja atau atas pelbagai sebab, seperti gangguan oleh penyedia Internet, kerajaan atau institusi awam di negara tertentu.
Apakah Proksi dan Kegunaannya Di Dalam WhatsApp?
Proksi membantu pengguna mengakses perkhidmatan yang disekat di negara tertentu. Jika kita bercakap tentang WhatsApp, proksi boleh membantu kita meneruskan perbualan dalam aplikasi ini walaupun sambungan internet menghalangnya. Proksi menyembunyikan alamat IP peranti yang bersambung ke rangkaian.
Pihak WhatsApp menjelaskan sebab utama penambahan fungsi ini ialah mereka mahu sesiapa sahaja boleh menggunakan aplikasi WhatsApp walaupun negara tertentu mengamalkan penapisan dan menghadkan kebebasan rakyatnya.
Cara Menetapkan Proksi Di Telefon Pintar
- Buka aplikasi WhatsApp.
- Tekan 3 titik di bahagian atas kanan skrin.
- Tekan Tetapan.
- Tekan Storan dan Data.
- Tatal terus ke bawah. Kemudian tekan Tetapan proksi.
- Tekan/tolak tombol.
- Tekan Tetapkan proksi.
- Masukkan proksi di sini dan tekan Simpan.
WhatsApp Messenger
Aplikasi komunikasi yang lengkap dan percuma ini telah mendapat populariti di seluruh dunia dan telah menjadi bentuk komunikasi utama untuk jutaan orang, meninggalkan panggilan tradisional dan hampir membawa kepada kepupusan penghantaran SMS. Pengguna boleh bersembang, hantar video, imej dan nota audio kepada kenalan termasuk nombor antarabangsa, tanpa sebarang caj tambahan, menyesuaikan aplikasi dan terima pemberitahuan apabila mesej masuk. Pengguna juga boleh gunakan ciri “Status” untuk berkongsi momen harian.